Semasa saya berumur 10 atau 11 tahun (sekolah rendah) saya sudah menghasilkan beberapa buku puisi. Syok sendiri. Benar, dalam bentuk buku kecil bergaris yang saya beli dari kedai alat tulis di Kota Bharu. Kalau tidak silap ingatan saya, ada dua buah yang saya hasilkan.
"Puisi adalah reaksi
kepada sesuatu pengalaman
yang menusuk."
- A Samad Said
kepada sesuatu pengalaman
yang menusuk."
- A Samad Said
(dipetik dari buku Sketsa dan Puisi 1969-1989 Bunga-Bunga Bulan Siti Zainon Ismail, terbitan Creative Enterprise).
Sangat benar. Semasa kecil jiwa saya mungkin terlalu sensitif dan senang terasa. Kecil hati, merajuk, perasan, marah (dan sekarang semakin teruk!). Perasaan-perasaan ini tersimpan dan membuak lalu terluah dalam bentuk bait-bait sajak dan puisi sedih, suram, atau marah. Mungkin ada juga gembira, ah, saya sudah lupa. (Tetapi sebab kenapa saya marah itu saya masih ingat :-) ).
Semasa umur itu saya telah menghafal sebuah sajak Usman Awang. Guru Bahasa Malaysia kami memberi tugasan kepada pelajar untuk membawa ke kelas sebuah sajak untuk dibacakan. Mungkin di situ bermula kesukaan saya kepada sajak, dan terhadap Usman Awang. Cikgu saya kagum dan memuji saya di depan rakan sekelas, katanya sajak beginilah yang dia mahu. Mungkin pelajar lain membawa sajak yang mudah dan ringkas, tidak cukup pedih. Mungkin. Atau dia tidak menyangka ada budak kecil suka membaca sajak orang tua yang sangat dikagumi semasa. Apa sajalah, yang penting hati budak ini sudah terpalit dengan sajak dan puisi!
Circa 1984. Disunting dari gambar kelas, koleksi rakan sekelas saudara Ahmad Zool Fadli |
Dari situ bermula 'karier' pendeklamasi sajak saya, kerana Cikgu sudah beriya membawa saya ke pertandingan deklamasi sajak ke sekolah-sekolah lain. Dengan sajak Usman Awang itulah!
Rasa saya, kita tidak mampu menipu diri dalam penghasilan karya. Terutama sajak dan puisi, mesti dari hati yang sangat merasakan, atau terasa. Karya dalam bentuk apa pun. Tetapi kematangan umur akan menapis sama ada karya ini menjerit, memaki atau sekadar menyindir, atau ketawa sendiri.
Tidak boleh sekadar mahu 'saja-saja menulis'. Tidak boleh saja-saja memegang berus lalu lukisan yang amat hebat terhasil! Dan pada umur 10 ke 12 tahun tadi hati selalu bingung dan berat. Berat dengan tanggungjawab seorang ketua pengawas, ketua pengakap, ketua perpustakaan, yang selalu berbelah antara sahabat atau amanah! Saya terlalu lurus dan penakut, dan terlupa untuk mengambil peluang dengan kuasa yang diberi. Tidak pandai berpolitik! Skima, katanya. Maka jadilah kita insan yang tersepit di antara tanggungjawab dan keinginan untuk berseronok seperti budak-budak lain. Zaman kanak-kanak sepatutnya indah!
Ditakdirkan, pada tahun 2009 saya bertemu Prof Dr Siti Zainon Ismail, dalam satu sesi temubual dan rakaman video untuk Galeri Chandan di Bukit Damansara. Di situ, di hadapan beliau, mulut saya ternganga. Mujur saya berada dibelakang kamera, kalau tidak tentu rakaman saya sedang ternganga mendapat hits yang banyak di YouTube. Terpukau saya dengan bahasa Melayu beliau! Sangat tinggi tetapi praktikal, cantik olahan dan kaya perbendaharaan kata - dalam bentuk perbualan dan bersahaja, bukan dibuat-buat baku atau pidato rasmi. Di selit dengan kecintaannya kepada sejarah dan senibudaya - ah saya sudah terpikat dengan bahasa melayu! Saya nampak cahaya, Cikgu!
Dua tahun yang lalu saya mula menulis lagi. Mungkin kerana pengalaman-pengalaman yang semakin menusuk (atau hati semakin tua semakin terasa! "Hai angin bertiup – kau menyindir aku kah?")
Tetapi karat bahasa inggeris sudah terlalu melekat dan melikat. Lapan tahun di UK. Lantas tidak ada keyakinan menulis menggunakan bahasa ibunda. Takut benar kesalahannya terlalu nyata dan diketawakan. Atau terlalu purba! Hahaha!
Kita bukan pakar bahasa. Tetapi kita ada hati yang senang terasa - riang dan pedih, gerimis atau pelangi. Dan melalui puisi kita mendapat ruang luah, dan berkongsi pengalaman, dan menjadi dewasa.
Mungkin terlalu lambat untuk menyedari, untuk itu saya perlu berlari untuk mengejar dan memahami.
Dan agaknya, saya mendekati semula bahasa ibunda saya melalui sajak dan puisi ini. Sedikit demi sedikit. Cari dan baca. Amati dan tulis. Dengan kadar saya. Kadang berlari, kadang berjalan, selalunya merangkak. Acapkali tertidur.
Tidak mengapalah. Dengan cara saya.
Seperti sewaktu saya berumur 10 tahun tadi - lurus dan tulus dan tiada agenda politik!
Seperti sewaktu saya berumur 10 tahun tadi - lurus dan tulus dan tiada agenda politik!
Moga Bonda sabar dengan kerenah budak-budak!